Sunday, June 28, 2009

Ulang tahun pertama..

Salam semua,

Hari ini tanggal 28hb Jun 2009, genaplah setahun ZZ Sunnah Farming & Enterprise menjalankan usaha penternakan kambing di Malaysia.

Pelbagai suka duka ditempuhi sepanjang setahun beroperasi, tidak perlulah diulas di sini. Aku cuma berdoa kepada Allah Azzawajalla agar usaha yang aku jalankan ini diterima dan diberkati olehNya. Aku sedar dan Allah juga Mengetahui yang aku telah banyak lalai dalam mengingati Allah semasa urusanku menjalankan penternakan kambing ini..

Solat kadang-kadang lewat kerna sibuk menguruskan kandang, kadang-kadang aku terfikir kenapalah aku menyibukkan diriku dengan benda ini sedangkan aku sudah punya pendapatan tetap. Nak kata kaya tak juga..tapi aku ingat tujuanku hanyalah untuk mencari keredhaan Allah..semoga Allah terima usahaku ini.

"SUNNAHFARMING TERUS MAJU DENGAN IZIN ALLAH, AMIN"

Dari Tenaga Kerja Sunnahfarming..
Zaki, Zul, Aimi, Pekchet dan semua pembantu separuh masa...

Tuesday, June 16, 2009

Kelahiran Boer kedua...(updated on 28/6/2009)

Salam,

Alhamdulilah..tengah hari tadi kambing Boer aku yang kedua telah melahirkan seekor anak kambing betina. Anak Tyson juga sebab semasa aku beli dari Agro Gemilang memang dah bunting.(Bukan anak Tyson rupanya..pejantan lain dah sebat dulu..)


Anak betina Boer baru lahir..

Aku ada 2 ekor induk sahaja..semoga mereka inilah akan berkembang biak amin..

Sunday, June 14, 2009

Insurans kambing..

Salam,

Post kali ini aku tujukan khas buat sahabat ternak Amirul Pearl Farm (www.pearlfarm.blogspot.com)..Takziah.

Beliau telah kehilangan 30 ekor kambing Boer pada 11/6/2009 kerana dicuri oleh penyangak yang mengambil kesempatan di atas kelemahan penternak kecil seperti kami. Nak jadi cerita, malam kecurian berlaku Amirul tidak pergi ke kandang mungkin penat..biasanya dia ada.

Aku pernah tanya seorang rakan ejen insurans takaful, bolehkah kambing2 kami dilindungi oleh insurans? Jawabnya tiada. Tak bolehkah syarikat-syarikat insurans mewujudkan skim insurans untuk ternakan bagi membantu penternak yang kehilangan hasil ternakan mereka?

Thursday, June 11, 2009

Tawaran Contract Farming

Salam,

Tawaran adalah dibuka kepada semua yang berminat untuk menyertai skim pawah (contract farming) dengan sunnahfarming. Syarat-syarat yang digunakan adalah seperti berikut:

1. Peserta hanya perlu membeli induk betina jenis Boer F1/F2 yang harganya sekitar RM700 seekor. Kalau nak beli yang mahal pun tiada masalah jika mampu.
Peserta boleh beli sendiri induk atau menyerahkan kepada kami untuk urusan pembelian induk. Kami tidak mengambil deposit sebaliknya peserta akan bayar terus kepada pembekal yang terpilih. Kos penghantaran perlu ditanggung oleh peserta.

2. Kuantiti tidak ditetapkan. Terpulang kepada kemampuan peserta.

3. Pejantan Boer FB disediakan oleh sunnahfarming. Umur 2 1/2 tahun dengan berat 57kg. Boer FB akan menghasilkan anak kambing Boer yang berkualiti.


Cara-cara pejantan ushar induk betina hehehe...

4. Induk adalah milik peserta sepenuhnya. Anak pertama menjadi milik peserta juga manakala anak kedua menjadi milik sunnahfarming dan seterusnya..

Anak pertama dan kedua boleh pilih mana berkenan..

5. Setiap induk dan anak dikenakan kos penjagaan bulanan sebanyak RM35 seekor seperti kos ubat, pengangkutan, makanan dan penyelenggaraan (potong kuku, gunting bulu, rawatan dan sebagainya).


Induk dan anak..

6. Kontrak penjagaan maksima 2 tahun. Boleh diperbaharui selepas itu sekiranya peserta mahu pihak sunnahfarming terus menjaganya.

7. Anak-anak betina akan dijadikan induk baru manakala anak-anak jantan akan dijual kecuali yang boleh dijadikan baka. Ini bermakna peserta akan mendapat kambing baru dan mendapat hasil jualan kambing.



Anak-anak kambing jantan dan betina..

Itu sahaja buat masa ini, jika terdapat syarat yang perlu ditambah atau dikurang untuk kepentingan bersama boleh dikemukakan kepada pihak kami. Terima kasih.

email : sunnahfarming@gmail.com/zaki.hassin@yahoo.com.my
telefon: 012-7667139 (zaki)/ 013-9500648 (zol)

Nota: Gambar-gambar di atas adalah menunjukkan anak-anak induk Boer FB (mahal) . Sila rujuk gambar di bawah untuk memahami jenis induk Boer yang lebih murah atau
link untuk opsyen pawah.



Perluasan perniagaan..

Alhamdulillah..

Berkat sokongan dan doa kawan-kawan, aku membuka satu cawangan kecil di Pontian aka ibu pejabat ZZ SUNNAH FARMING & ENTERPRISE untuk menempatkan sebuah kandang transit.

Kawan-kawan tempah kambing untuk akikah, aku beli 5 ekor dari D Baraqah untuk memenuhi keperluan di sini. Nak bawa dari Kuantan jauh sangat, lainlah kalau ada Storm hehe..(sedang mencari).

Dah penat lak rasanya bercerita..layan jelah gambar-gambar ni.


Aku, bapa mertua dan anak saudara bergotong royong menyiapkan kandang..
asalnya dulu bangsal untuk menyimpan buah pinang.



Kambing terpaksa ditambat sementara menunggu kandang siap..
fuhh! Berpeluh tarik 5 ekor kambing ke kandang.



Kandang dah siap..ok tak? Ini gambar keesokkannya.
Kambing ditarik ke kandang jam 9.30 mlm sebab baru siap hehe..



Kambing saiz XL dibekalkan oleh D Baraqah, memang puas hati dapat saiz besar macam ini.
Sampai ada pembeli lain suruh padamkan tanda kambing yang aku dah pilih..bayangkan!


Inilah sumber inspirasiku..Maryam Jamilah. Setia menemaniku di kandang kambing.

Tuesday, June 9, 2009

Saingan perniagaan..

Salam,

Tidak sampai 1km dari kandang aku terdapat satu signboard baru yang agak mahal aku rasa telah didirikan. Apabila aku berhenti dan baca, ia menunjukkan sebuah perniagaan penternakan akan dibangunkan di situ.

sigboard baru didirikan..

Sebenarnya kandang tu dah lama. Dibina di celah pokok-pokok sawit, 30-40 ekor lebih kurang kambingnya..sekarang pemilik dia dah nak buat besar-besaran tapi masih di celah-celah lorong antara pokok sawit. Dengar-dengar dia nak bawa masuk 400 ekor kambing..wow!


Semoga menjadi persaingan yang sihat..

Aku harap aku boleh ambil kambing dengan dia je, tak payah beli jauh-jauh untuk menjimatkan kos pengangkutan. Rezeki di tangan Allah..ingat tu!

Friday, June 5, 2009

Literature review..

Salam, berikut adalah sedikit maklumat tentang sistem pawah untuk tatapan pembaca. (Karya dipetik daripada blog http://www.goatnstresources.blogspot.com)

Monday, April 21, 2008

Sistem Pawah

Pawah adalah tradisi Melayu lama, dimana tuanpunya ternakan akan memilih seorang gembala untuk menternak dan membiakkan ternakan mereka. Ianya merangkumi pelbagai syarat yang berbeza bergantung kepada tempat, keadaan dan faktor setempat. Secara amnya, dalam sistem pawahan kambing, anak kambing tuanpunya akan dibahagi sama rata diantara tuanpunya dan gembala.

Penternakan kambing mampu memberi pulangan yang lumayan kerana kambing membiak dengan cepat, iaitu pada kadar dua ekor setiap sembilan bulan.


Pembahagian Kambing

Pembahagian kambing tuanpunya adalah dibuat seminggu selepas anak dilahirkan. Ini adalah kerana dalam tempoh itu, kesihatan anak kambing masih belum stabil lagi.

Pembahagian adalah bergantung kepada tuanpunya. Ini bermakna dalam kumpulan kambing yang tuanpunya miliki, gembala akan mendapat anak pertama dan tuanpunya akan mendapat anak kedua. Kami tidak menggalakkan penjualan kambing betina tapi kami akan tetap menjual kambing jantan sebagai pedaging selepas umur 6 bulan. Seterusnya digantikan dengan kambing betina untuk pembiakan. Kami boleh membantu dalam segala aspek pengurusan kambing tuan.


Pilihan Pemeliharaan Kambing

Anda boleh memilih tatacara pemeliharaan ia itu secara terus menerus atau jualan anak.
  • Cara terus menerus, kami akan membiakkan kambing anda secara terus menerus. Dalam pilihan ini, kami akan menjual anak kambing jantan dan membeli anak kambing betina sebagai ganti.
  • Dalam pilihan jualan anak, kami akan menjual anak kambing anda pada umur 6 bulan, tanpa mengira jantina. Kami akan memasukan hasil jualan kedalam akaun anda selepas jualan.
Anda boleh menukar pelan pemeliharaan pada bila-bila masa tertakluk kepada syarat tertentu.

Contract Farming..

Salam,

Nampaknya semakin ramai yang meminta aku membuka sistem pawah (contract farming) walaupun belum sampai setahun sunnahfarming beroperasi..

Aku sedang menimbangkan untuk menawarkan contract farming kepada orang awam memandangkan masih banyak kekosongan di kandang aku. Aku sedang mengkaji perkara tersebut dan diminta penternak berpengalaman memberi input berguna kepada kami. Terima kasih.


Petak 30' x 30' yang boleh memuatkan lebih 50 ekor kambing..

Wednesday, June 3, 2009

Kambing Aqiqah Untuk Dijual!

Salam,

Ayuh laksanakan sunnah Rasulullah membuat aqiqah untuk anak masing-masing. Dapat makan, dapat pahala menjamu orang makan dan dapat amalkan sunnah (Barangsiapa menghidupkan sunnahku di zaman kerosakan umatku, mendapat 100 pahala mati syahid - maksud hadis).

Kami mempunyai stok Boer wether untuk dijual. Harga dari RM600 ++ Dapatkan segera di kandang ZZ SUNNAHFARMING! Datang tengok dan pilih.
Berat : 35kg - 40kg


Boer wether saiz 3okg ke atas..

Feral dah habis dijual, kami bawa masuk 5 ekor sahaja...
Berat 35kg -40kg

Stok Feral 35kg ke atas (sold out)

Selepas ini kami akan membawa masuk saiz L sahaja >40kg. Harga dari RM600 ++


Yang tanduk panjang tu saiz L..ok x?

Harga kami akan cuba maintain sebab yang penting pelanggan puas hati, program jangka panjang.

Pengiklanan & Pemasaran...

Salam,

Salah satu elemen yang penting dalam perniagaan adalah pemasaran produk. Pengiklanan merupakan satu kaedah pemasaran yang paling berkesan, jadi sunnahfarming pun cuba menggunakan kaedah ini untuk memasarkan kambing kami...alhamdulillah ramai pelanggan sudah mengenali kami melalui banner yang kami pasang di sekitar kandang..cuba ya jangan tak cuba...

Kain rentang jualan kambing aqiqah dan lembu korban..


Banner untuk memperkenalkan ladang kepada umum..

Satu lagi cara pemasaran yang aku nampak untuk menjamin kesinambungan perniagaan kambing aku ini adalah mempelbagaikan produk. Setakat ini kami hanya mampu jual kambing baka dan aqiqah. Tinja tidak diproses ada sekali-sekala orang datang beli. Susu memang ada pasaran tapi aku tak mampu bekalkan.

Bangsal untuk memproses tinja, dapatlah proses sikit-sikit.

Kedua-dua produk susu dan produk tinja proses memerlukan modal tambahan. Ini kerana aku memerlukan mesin pembancuh makanan yang sesuai dan mesin memproses tinja. Ia juga memerlukan pekerja tambahan untuk melaksanakan tugasan ini, so kenalah kira kos upah. Semoga Allah akan memurahkan rezeki kami...


Kambing boer wether untuk lebih pilihan kepada pelanggan selain Feral dan kampung.

Aku tak ambil upah pun dari perniagaan aku..cukuplah gaji aku sebagai cikgu. Aku buat semata-mata kerana minat aku terhadap kambing.

Lawatan ke Casserose Segamat

Salam,

Perjalanan aku dari Kuantan ke Johor Bahru memerlukan aku menempuh bandar Segamat. Di sini terdapat satu syarikat penternakan kambing Boer yang agak masyhur iaitu Casserose, sekarang dah tukar jadi MARWA Farm kerana pertukaran pihak pengurusan.

Imej terbaru Casserose aka MARWA Farm..

Sebahagian kandang Casserose Marwa Farm..

Aku tak melepaskan peluang melawat kompleks penternakan Casserose yang mengandungi 7 kandang bersaiz 120' x 50' (kalau tak silap la..dah lama sangat aku simpan story ni). Memang besar! Yang terbesar pernah aku jumpa dengan kapasiti kambing hampir 2000 ekor. Aku belajar beberapa perkara dengan pengurus Casserose Segamat, En.Selamat walaupun modus operandi kami tak sama..maklumlah gajah dengan pipit bezanya.

Panjang dan besar dari dalam..


Makanan sedang siap untuk dihidangkan..

Sebahagian kambing Boer unregistered FB yang ada...

Tujuan aku sebenarnya nak cari seekor pejantan Boer sebagai backup Pejantan aku yang kurang aktif memanjat sebab sakit kulit. Tapi malangnya Casserose ini bukan penjual tetapi lebih kepada penternak jangka panjang. Bela banyak2 pahtu jual daging...ada beberapa ekor tetapi muda lagi jadi kiranya lawatan kerja ajalah tu..


Ni pejantan yang ditawarkan pada aku tapi bukan FB..

Lawatan sebegini mungkin pada sesetengah orang membuang masa tetapi aku nak menuntut ilmu...semoga aku berjaya kekal dalam industri ini..amin.

Tuesday, June 2, 2009

Kelahiran Boer sulung...

Aku kalau dah mula menulis banyaklah story terkumpul..

Sebulan lepas aku telah beli 2 ekor induk Boer dari AgroGemilang setelah sekian lama memujuk tuan dia..memang puas hati membeli kambing tersebut. Aku muatkan dalam Avanza aku, sampai kat kandang habis hancing kereta aku. Nasib baik aku dah standby tikar getah dan akhbar banyak jadi tak meresap...


Salah seekor induk Boer aku...bukan FB


Ini lagi seekor...tembam.

Pada 23hb yang lepas, salah seekor kambing Boer aku dah beranak seekor anak betina yang memang comel sampai tuan dia nak beli semula..sayang wooo..anak Tyson AG tu. Terima kasih kepada Azli kerana memberikan aku peluang memiliki kambing yang memang bagus.



Ada tompok coklat kat punggung sebab bapak dia Redboer..


Geram aku tengok dia main kat belakang ibu dia...

Kelahiran kesembilan belas

Salam,

Maaf terlebih dahulu kerana sekian lama tidak mengemaskini blog sunnahfarming..perniagaan berjalan seperti biasa cuma semacam hilang semangat untuk menulis tak tahu kenapa.


Ibu kambing

Tanggal 24hb kami menerima sepasang anak kambing jantan baka Jamnapari...alhamdulillah. Agak lama tak dapat merasai pemberian Allah ini..sebelum itu kami kehilangan 3 ekor anak kambing akibat serangan kutu cekenit. Salah kami juga kerana terlalu kerap turunkan kambing meragut di tanah.


Kembar jantan sedang berehat berpelukan

Kawasan tu tidak sesuai sebab banyak kawanan lembu pembawa kutu. Dah taubat tak nak buat lagi...